Laksam Kedah, Kena Belajar Lagi - Cahaya Hayati

9 Jun 2016

Laksam Kedah, Kena Belajar Lagi

Assalamualaikum wbt. Laksam kedah. laksam kedah aku bagi nama sebab laksam jenis ni hanya jumpa kat daerah kampung aku iaitu Kubur Panjang, Kedah. Belum pernah lagi jumpa kat tempat lain... Kalau kat Kubur Panjang, sepupu aku dah komersialkan laksam ni. Kalau nak rasa boleh cari Kedai Non. Terletak di simpang tiga untuk ke Kampung Perupuk. Haa jangan tak tau, salah satu lokasi untuk drama Kubur Panjang yang di tayangkan di astro adalah kedai sepupu aku. So, kalau korang tersesat ke Kubur Panjang, bolehlah singgah.

Aku kalau balik kampung, memang akan beli. Bukan aku ja... orang lain pun. Orang kampung pun setiap minggu akan pi jugak merasai keenakan laksam kedah ni. Memang laku keras la laksam ni. Sepupu aku ni terima juga tempahan untuk kenduri atau majlis kecil-kecilan.

Beza laksam kedah dengan laksam kelantan adalah dari segi kuah. Kuah laksam kedah adalah kuah lemak berempah dan sedikit pedas. Ulaman yang di gunakan adalah pucuk putat, timun, daun selom, bawang dan bunga kantan. Untuk extra pedas boleh tambah cili padi.

Dua minggu lepas dengan keinginan yang maksima, maka aku telah cuba membuat laksam dan kuah laksam kedah buat pertama kalinya. Alhamdulillah menjadi walaupun tidaklah 100% sama dengan apa yang di buat atau di jual oleh sepupu aku. hihi... So, kena belajar lagi.

Untuk laksam pula, aku ambil resepi dari blog Azlita Masam Manis. Memang menjadi. Dalam blog azlita masam manis ada langkah demi langkah untuk membuat laksam. Follow ja... In Sha Allah menjadi.


Laksam kedah


Laksam


3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
5 cawan air suam (3 air mendidih + 2 air biasa)
1/2 sk garam 

Caranya:
Satukan semua bahan dan kacau rata. 

Panaskan pengukus sehingga mendidih. Letakkan tudung periuk atau apa apa bekas yang leper ke dalam pengukus dan sapukan minyak.

Kacau supaya adunan tidak mendap dan tuangkan   setengah dari tudung periuk dan tutup tudung pengukus dalam 5-10 minit sehingga adunan menjadi menggelembung atau masak sepenuhnya.

Angkat dan dengan menggunakan pisau atau garpu, balik sambil digulung gulung dengan menolak perlahan lahan ke tepi.

Satu adunan dapat menghasilkan 8-10 gulung laksam (bergantung kepada saiz dulang/tudung periuk yang di gunakan). Bila hendak dimakan, gunting/potong laksam ini nipis nipis.


laksam kedah

Untuk menghidangkan, masukkan laksam yang dipotong nipis ke dalam pinggan, tuangkan kuah laksam secukupnya dan ulam ulaman yang telah di potong.

Laksam Kedah


Resepi Kuah Laksam Kedah

Bahan

1 kg ikan sardin/ temenung
2 batang serai - ketuk
2 labu bawang besar - kisar
3 ulas bawang putih - kisar
2 sudu besar cili kisar
2 sudu besar rempah kari daging
1 batang kulit kayu manis
1 bunga kantang
Daun kesum
minyak
RM 2 santan
garam
Asam keping


Caranya

Rebus ikan, ambil isinya saja. Tulang dan kepala ikan di kisar dan di tapis ambil airnya.

Dalam periuk lain, panaskan minyak. Tumis bawang besar dan bawang putih sehingga wangi.

Masukkan cili kisar dan rempah kari.  Masak sehingga berminyak.

Tambah air tulang ikan.

Masukkan isi ikan, asam keping, daun kesum, bunga kantan dan serai. Biarkan sehingga mendidih.

Tambah santan dan garam. Biarkan sehingga mendidih.

Rasa. Dah ok, boleh tutup api.

Hidangkan laksam bersama kuah yang masih panas.

laksam kari

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment