Sejarah Kubur Panjang - Cahaya Hayati

2 Sep 2015

Sejarah Kubur Panjang

Sejarah mengenai kampung halaman saya - Kubur Panjang, Kedah.

Sejarah Kubur Panjang


Memang menghairankan dan sukar dipercayai apabila kubur yang suatu ketika dulu bersaiz biasa, tetapi keadaaannya berubah apabila jarak antara dua batu nesan di bahagian kepala dan kaki memanjang sehingga mencecah 8.6 meter.


Walaupun keadaan itu pelik, itulah hakikatnya dan tidak hairanlah tempat berkenaan diberi nama Kubur Panjang.  Ia terletak di Mukim Rambai, Daerah Pendang.  Sehingga kini tiada siapa tahu mengapa dan bagaimana batu nesan itu boleh `bergerak' dari tempat asalnya hingga menambah ukuran panjang kubur itu.

Kubur misteri yang dikelilingi banyak kubur lain di tanah wakaf seluas 0.4 hektar di tepi jalan utama itu pernah menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara yang ingin melihat keganjilannya. Dulu ada penduduk membina batu penghalang di sekliling kubur itu, tetapi ia kini tertimbus akibat hakisan tanah, namun sepasang batu nesannya masih utuh.

Penduduk asal kampung itu, Sulaiman Arshad 80 , berkata tidak diketahui dengan jelas usia kubur itu bagaimanapun menurut cerita lisan orang tua sebelumnya, kubur panjang itu ada kaitan dengan janji tidak ditepati.  Lebih 200 tahun lalu dua beradik yang berasal dari Pattani, Thailand telah berhijrah ke Kampung Budi di Mukim Lesong kita-kira 10 kilometer dari Kubur Panjang.

Dua beradik tersebut mempunyai ilmu kebatinan dan guru silat yang disegani sehingga salah seorang daripadanya dilantik menjadi ketua kampung.  Berdasarkan cerita dua beradik tersebut rajin bercucuk tanam dan bersawah sehingga mampu mengumpul harta yang banyak.  Setiap kali selepas musim menuai penduduk mengadakan pertandingan menyabung ayam dan lokasi paling popular untuk kegiatan itu ialah di Kampung Mempelam Susu, di daerah sama.

 "Suatu hari pertandingan secara besar-besaran diadakan dan seorang penduduk berjaya menjadi juara selepas mengalahkan ayam sabung yang lain.Selepas kemenangan itu dua beradik dicabar supaya bertanding dengan juara berkenaan.  Dua beradik yang masing-masing membawa ayam sabung itu enggan berlawan kerana tujuan asal ke situ hanyak untuk menyaksikan pertandingan itu sahaja, bagaimanapun selepas didesak penduduk akhirnya salah seorang daripadanya bersetuju berlawan.

Akhirnya ayam salah seorang daripada dua beradik itu berjaya mengalahkan pencabar berkenaan dan selepas kemenangan itu orang ramai minta dua beradik itu bersabung ayam sesama sendiri. Setelah didesak akhir nya dua beradik tersebut setuju dengan syarat yang menang dilarang menyorak yang kalah.  Akhirnya ayam adik lelaki itu kalah dalam perlawanan tersebut, manakala abangnya yang terlalu gembira terlupa kepada perjanjian hingga bersorak kegembiraan bersama penonton yang menyaksikan perlawanan itu.

Kerana malu, adiknya mencabut keris lalu menikam dada abangnya.  Sebelum mati abangnya berpesan kepada adiknya supaya tolong menjaga anak dan isterinya dengan baik.  Adiknya yang kesal dan sedih dengan kejadian itu bertindak membunuh diri dengan menikam dirinya menggunakan keris yang sama.  Ketika mengusung jenazah untuk dikebumikan di Kampung Budi penduduk terkejut apabila kedua-dua jenazah tiba-tiba menjadi semakin berat sehingga penduduk berhenti rehat beberapa kali.

Penduduk yang tidak mampu mengusung jenazah adiknya mengkemumikannya di situ, manakala jenazah abangnya dibawa ke Kampung Budi untuk disemadikan.  Apa yang menghairankan ialah apabila penduduk kampung menziarahi kubur adiknya pada keesokkan harinya batu nesannya berubah kedudukan hingga menjadikan kubur itu panjang.  Malah satu ketika dulu jika kubur itu diukur ukurannya sering berubah-ubah sehingga menimbulkan rasa pelik di kalangan penduduk dan digelar sebagai Kubur Panjang sehingga kini.

Apa yang berlaku boleh dijadikan iktibar iaitu manusia patut berpegang pada janji dan perlu hidup rukun damai.

3 ulasan:

  1. Macam2 sejarah yang ada kan...nak percaya boleh tak percaya pun x boleh...

    BalasPadam
    Balasan
    1. kan. Kita dengar & ambil tahu sajalah...

      Padam
  2. ohhh..ada kubur panjang rupanya kt situ

    BalasPadam